Sunday, December 31, 2017

Bingka pisang

Masakan terakhir 2017.....penutup tahun ni saya share resepi bingka pisang jer. Setandan pisang abu yang dibawa dari kampung dah masak ranum semuanya. Di rebus sudah....digoreng pun sudah.....dicucur sudah......dilempeng sudah....jadi malam ni saya bingkakan. Niatnya nak dilepatkan tapi daun tak ada.....esok baru nak ke kebun mengintai tanaman kalau ada kesempatan.

Stok yang berbaki tu kalau takde aral boleh la buat lepat dan kuih talam atau lengat tahun depan. Tahun ni dah takdan....lagi pun bingka tu pun banyak....jenuh nak peghabis....

Dah la buat 2017.....2018 baru boleh makan. Iskh..iskhhh...iskhhhh.

Bingka pisang 2017

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sikat @ 2 cawan pisang yang telah dibuang kulitnya dan dilenyek
1 cawan tepung gandum
1/3 cawan gula perang (soft brown sugar @ gula pasir biasa)
2  cawan santan
2 sb mentega, dicairkan
1/4 camca teh garam
1 biji telur
Bijan secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

Panaskan oven pada suhu 180C. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan minyak masak.
Satukan semua bahan dan gaul sebati.
Tuang ke dalam loyang yang telah disediakan. Tabur atasnya dengan bijan hingga rata. Masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan dan bakar selama 1 jam atau hingga masak dan permukaannya keperangan (nak kerak boleh tambah waktu membakar, tapi pastikan jangan sampai rentung). Keluarkan dari oven. Biarkan kuih bingka suam dan boleh keluarkan dari loyang.  Biar sejuk baru dipotong dan boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi.

Nasi Ayam Ummu Iman


Masakan temgahari terakhir 2017. Nasi ayam kepci style. Kemain suka anak2. Habis seko lebih aysm goreng kepci ummi diorg perabihkan....pastu leh tanya ada lagi ke tak...


Nampak mengancamkan.......hahahha...rasnayapun mengancam.  Jom la gpreng sendiri ikut resepi di bawah ni. Resepi ni saya oleh dari sumber Amalina izzah.

Resipi Ayam kepci Homemade

Ni resipi untuk seekor ayam

Bahan perapan

4 sudu besar serbuk cili
20 ulas bawang putih di tumbuk
2 sudu besar serbuk lada hitam
4 sudu kecil garam
2 sudu kecil soda bikarbonat
4 sudu besar serbuk kari ayam
2 sudu besar jus lemon (rahsia ayam juicy di dalam rangup di luar).
Gaul rata bahan perap dan biar selama 30 minit

Bahan tepung

4 cawan tepung gandum
4 cawan tepung jagung
2 sudu kecil garam
2 sudu kecil soda bikarbonat

Lepas dah 30 minit, bancuh 1 cawan adunan tepung dengan air secukupnya. Tuangkan dalam perapan ayam. Gaul rata.

Ambik ayam gaulkan dengan baki bahan tepung dan goreng dalam kuali. Pastikan minyak betul2 panas baru masukkan ayam yg dah salut tepung tu. Biar ayam tenggelam dalam minyak panas tu. Bile dah masak, boleh hidang dan makan panas2 dengan sos.


Resepi nasi ayam

Untuk nasi

5 cawan beras (saya guna basmathi - sukatan air ikut jenis beras)
7 cawan air rebusan ayam
Garam secukup rasa
Sedikit Serbuk kunyit

Tanak nasi macam biasa. Biarkan nasi masak sepenuhnya. Biarkan nasi selama lima minit selepas masak sebelum di kareh rata). Masukkan bahan tumis di bawah dan kareh rata.

Tumis

1 batang kulit kayu
sekuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
10 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
2 inci halia - hiris
5 sb minyak masak
2 sb minyak sapi

Tumis hingga naik bau dan bawang perang. Tuang dalam nasi yg telah masak sepenuhnya dan kareh rata.


Resepi nasi ayam

untuk sambal

*5 biji cili kering (rebus atau rendam hingga lembut) - campur cili padi utk rasa yang lebih pedas
*5 ulas bawang merah
*5 ulas bawang putih
2 sb sos cili
2 sb sos tomato
6 sb kicap

Kisar * hingga lumat. Satukkan semua bahan di dalam kuali dan masak hingga pekat dengan api kecil.


Resepi nasi ayam

Untuk sup

Saya guna kaki dan tengkuk ayam dan air celuran ayam tadi.
1 batang lobak merah dihiris nipis
1 batang serai

Tuangkan bahan tumis dan perisakan dengan garam secukup rasa. Kemudian tabur daun sup dan daun bawang semasa menghidang.

Tumis

1 batang kulit kayu
sekuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
10 ulas bawang merah - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
2 inci halia - hiris
2 sb minyak masak
Tumis hingga naik bau dan bawang perang.

Pelengkap rasa

Garam secukup rasa
Daun sup dan daun bawang.



Friday, December 29, 2017

Nasi Arab - Chicken roasted kabsa


Nasi kabsa ayam....tempahan member opis lanjer kengkawan sempena penutup tahun 2017. Rezeki pelawat opis dari Ohio.......feedback memberansangkan.......ikut kata bos yang sama2 santap ngan tetamu tu.... "seriously tasty katanya"........owhhhhhh....terharu hakak.

Tak sangka omputih pun suka air tangan hamba....😙😙😙😙. Apa2 pun tq pada yang lanjer dan tempah ngan hakak ni....ramai dapat makan....kenyang sampai ke malam....hehehehu


Maaih guna resepi yang sama dari lydia honey. Kalau nak cuba resepinya bolek klil di link ini 😚😚😚. Tak permah mengecewakan....hasilnya memgancam jiwa raga.....hahhaha.


Thursday, December 28, 2017

Kek Span Pandan Cheese Leleh


Tak jemu2 lagi mencuba hingga dapat hasil yang terbaik. Kali ni pun masih sama dengan yang sebelumnya. masih lagi sedikit mengecut di bahagian atas. Pinggang takde tapi pemukaan atasnya mengecut. Hasilnya masih gebu. Kali ni buat pandan flavour tapi anak2 kata lebih suka yang vanilla flavour jer.

Takpe....jangan mengalah....nanti bebila nak cuba lagi.


Kek Span

Bahan2...

5 biji telur
1 ½ cwn superfine flour
1 sudu besar ovalette
1 sudu kecil baking powder
1 cwn gula halus
80 ml susu segar
80 ml minyak masak jagung
1 sk esen vanilla
1 sk pes pandan

Cara2nya...

- masukkan semua bhn di atas KECUALI minyak masak di dalam bowl mixer dan pukul hingga kembang gebu.. Anggaran 8 ke 10 minit ikut  mixer masing-masing...

- bila dah elok kembang gebu.. masukkan minyak dan kaup balik shj...

- corakkn selang seli spi abih yee...

- masukkan ke dlm loyang 9" yg telah digris dan bakar  175c selama 30-40minit @ sehingga masak ikut oven masing2.. Guna api atas bawah...

- terbalikkan ke atas redai/alas kek dan terbalikkan semula dgn cepat atas alas kek.

* Saya pukul telur, gula, ovalette dan esen vanilla hingga kembang dlu.. Pastu barulah masukkan susu dan tepung... Last skali masukkan minyak dan kaup balikkan spi rata sekadar 3-4 kali kaup balik sahaja. Dan bolehlah di bakar...


Briyani Ayam Abang Sado JJ


Tempahan nasi briyani abang sado JJ untuk tahlil di rumah jiran aritu....alhamdulillah....sesuka jer memenuhi permintaan jenjiran yang minta tolong masakkan....tahlil malam pertama aritu pun dia terdesak....restoran takde yang nak terima tempahan....jadi kawan suggest dia order kat kitorg. Kebetulan takde apa2 program.....kami pun terima lah tempahannya. Kali ni tahlil untuk hari ke 40....family dia minta buatkan. Jadi kali ni dia terus contact hubby minta masakkan briyani dan ayam goreng...

Gambar proper tak sempat ambil masa tu...sebab saya kebetulan bertugas diperbatasan...hehehehe. Habis jer kerja terus pecut balik rumah tolong hubby siapkan apa yang tak siap2 lagi. Alhamdulillah sempat la siap hantar sebelum Isyak dan feedback amat memberansangkan.


RESEPI NASI BRIYANI ABANG SADO JJ
Only @ zulfadreamland.blogspot.com

Untuk nasi

15 cawan beras brasmati direndam selama 30 minit dan toskan hingga kering (saya guna beras pusa)
2 pokok daun ketumbar
250 gm daun pudina
4 helai daun pandan
4 biji bawang Besar - kisar
20 ulas bawang merah dihiris dan digoreng
2 labu Bawang Putih - kisar
2 inci Halia
1 sb Ibu Briani/4 sb rempah briyani biasa
3 kuntum Bunga lawang
2 btg Kulit Kayu Manis
8 biji Buah Pelaga
1/2 cwn minyak masak
1 cwn Minyak sapi QBB
1 cawan Susu Cair
**separuh biji perahan lemon @ 4 sb sunquick oren
air ikut sukatan beras 1 cwn beras : 1 1/4 cawan cecair termasuk susu.
Garam secukup rasa
Gajus dan kismis (pilihan)
Sedikit Pewarna Merah dan Kuning
sedikit air mawar (jika suka)

___

Tumis semua bahan yang dikisar bersama daun pandan dan rempah tumis.

Masukkan ibu briani. (Kalau takde ble guna rempah briyani biasa tu jer)

Masukkan masukkan air, lemon. Masukkan daun-daun (tinggalkan sedikit untuk tabur selepas nasi masak). Masukkan susu dan garam. Biarkan mendidih.

Masukkan beras, kacau kerap sebelum airnya kering.

Bila air dah kering jangan kacau dah. Kecilkan api.  Titiskan pewarna dan air mawar jika suka dan tutup periuk serta tindih rapat supaya wap tidak keluar.

Biarkan nasi tanak selama lebih kurang 10 minit.  Kemudian tutup api....Biarkan lebih kurang 5 - 10 minit. Buka penutup dan kareh/gembur rata nasi tadi. Pastikan jangan di kacau kasar2 nanti nasinya patah. Korek dari tepi periuk. Tabur bawang goreng, gajus, kismis dan baki daun.

 *****jumlah cecair ni kena tengok jenis beras. Kalu guna pusa cream jumlah yg biasa saya guna 1 cwn beras : 1 1/4 cecair


Lauk briyani - (cara tumis)

1 kilo lamb shoulder lamb shoulder
2 batang karot - Potong 2 inci dan belah 4

Bahan tumis

4 sb rempah briyani
*4 biji bawang besar
*1 labu bawang putih
*3 inci halia

 Kisar *


Rempah tumis

1 batang kulit kayu manis
4 kuntum bunga lawang
6 biji buah pelaga
5 biji bunga cengkih
**5 biji tomato - kisar (Boleh juga menggunakan tomato puree tin kecil)
***4 biji cili hijau/cili api pun boleh - kisar

****6 sb madu
****2 ketul (sebesar ibu jari) gula batu
****1/2 keping gula melaka
****4 sb sos tiram
****4 sb sos cili
****4 sb sos tomato
Garam secukup rasa

1 pokok daun ketumbar - hiris
1 pokok daun sup - hiris
1 pokok daun bawang -hiris
Secekak daun pudina - ambil daunnya
1/2 batang chinese leek - Potong 2 inci dan belah 4
4 sb minyak sapi (QBB paling best) + 1/4 cawan minyak masak

Bahan pilihan

250 gm bawang goreng
3 sb kismis -goreng
Gajus - goreng


Panaskan minyak. Masukkan rempah tumis dan tumis hingga naik bau. Masukkan bahan*. Tumis hingga naik bau dan layu. Masukkan rempah briyani. tumis hingga pecah minyak. Masukkan tomato, cili hijau kisar,  kacau sebati. Masukkan daging dan karot masak hingga mendidih daging lembut. Masukkan **** dan kacau rata. (Kalau guna ayam daging masukkan setelah kuah agak pekat sebab ayam daging cepat empuk dan hancur - lebih sedap sekiranya menggunakan ayam pencen atau ayam kampung sebab masakan ini perlu dimasak lama supaya semua bahan menyerap ke dalam daging). Perisakan dengan garam secukupnya. (Rasa briyani johor agak manis sedikit - sesuaikan rasa manis masinnya ikut selera)

Masukkan bawang goreng sekiranya kuahnya masih cair. Taburkan kismis dan gajus jika suka.

***kacau sekali selalu supaya tak hangit.



Resepi pecuk/jelatah

3 biji timun dipotong kecil
1 biji nenas dipotong kecil
2 biji bawang besar hiris
1 biji karot hiris nipis
2 biji cili merah/hijau & cili padi hiris


Cuka, gula dan garam secukup rasa
Satukan dan gaul rata.

Resepi dalca

1 cawan kacang dhal - rendam dan rebus sampai empuk hampir hancur
Santan cair/susu cair/air secukupnya
1 sk (penuh) asam jawa bancuh dengan 1/4 cawan air
* 3 biji Bawang besar
* 2 inci halia
* 6 ulas bawang putih
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 biji terung -potong ikut suka
2 biji kentang - potong ikut suka
1 batang lobak merah - potong ikut suka
sedikit kacang panjang - potong 2 inci
1/4 cawan rempah kari daging
2 tangkai daun kari
Air secukupnya
Minyak untuk menumis


Tumis * dan daun kari hingga naik bau. Masukkan rempah tumis dan tumiskan seketika. Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan asam jawa. Kacau sebati.

Masukkan air, dhal dan kentang. Masak hingga kentang hampir empuk. Masukkan santan/ susu, lobak. Masak hingga lobak hampir empuk. Masukkan terung dan kacang. Masak hingga mendidih dan sayur empuk. Tutup api.

Sambal tumis tempoyak dan Asam Pedas, menu makan tengahari yummy


Hari ni kerja-kerja menyetelkan draft blog dilakukan secara sambilan. Banyak juga rupanya post yang belum dipublish. Kekadang tu bukannya apa....malas.....penyumbang utamanya line tenet yang selalu slow macam siput.Terbantut usaha nak upload gambar dan publish post...kekadang berkali2 try masih dok pusing2 tak leh nak kemana.... tu yang sudahnya dok kat draft sampai lupa. Ni maskan bila pun tak ingat.


Asam pedas abg sado JJ

750 gm ikan
1 senduk (cili kering yg dah dikisar)
* 6 ulas Bawang Putih
*2 biji bwang besar
*1 inci Halia
*1 inci/ketul kunyit hidup
Segengam Daun Kesum
Sekuntum Bunga Kantan – belah 4
Bendi atau terung panjang Belah dua dan potong lebih kurang 3 inci
Sebiji tomato belah 4 (optional)
1 liter air
Air Asam Jawa pekat dalam 1/4 cawan
Gula dan Garam sekukup rasa

----

Kisar *. Tumis cili hingga pecah minyak.  Masukkan bahan yang kisar dan kacau hingga naik bau. (Bahan ni boleh juga dikisar sekali dengan cili kering dan tumiskan hingga pecah minyak).
Masukkan air asam dan air.
Masukkan ikan dan bunga kantan, bendi.
Masukkan gula dan garam secukup rasa dan biarkan mendidih.
Masukkan tomato dan daun kesum  biarkan lebih kurang 2 minit. Tutup api.....siap untuk dimakan.



Sambal Tumis Tempoyak

Bahan bahan:
2 genggam ikan bilis- dibersihkan
2 batang serai - dititik
2 labu bawang besar
1 senduk tempoyak
Sedikit minyak masak
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
8 -10 tangkai cili kering
Sedikit cili padi - iku pedas disukai
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup - boleh guna serbuk kunyit

Cara cara:
Gorengkan seketika ikan bilis. Masukkan bahan kisar dan serai. Tumis hingga wangi dan garing. Masukkan tempoyak, kacau sebati.

Tambah sedikit air dan kacau hingga pekat. akhir sekali, perasa garam dan gula, kacau sebati.
Tutup api dan sedia dihidangkan.

Kuay Tiaw Goreng Simple


Bila2 kesuntukan waktu, pes char kuay tiaw ni banyak membantu memudahkan kerja2 menggoreng kuay tiaw atau mee. Kalau terer masak dengan api dalam kuali tu lagi sedap jadinya kuay tiau goreng ni.

Kuay Tiaw Goreng ZLC

1 paket kuay tiaw (500 gm)
2 senduk pes char kuay tiaw ZLC (Resepi pes klik dilink ini)
sotong/udang/isi ayam/kerang/telur secukupnya
Sayuran - sawi/tauge/kucai/kobis
(kalau nak tambah 1 biji bawang besar hiris dan cili kering kisar pun boleh, bawang tu tumis hingga keperengan untuk rasa kuay tiaw yang lebih sedap)
6 sb minyak

Panaskan minyak ke dalam kuali. (Pilihan - Tumiskan bawang besar dan cili kisar hingga pecah minyak.) Masukkan sotong/udang/isi ayam/kerang/telur. Kacau seketika. Kemudian masukkan pes dan gaul rata. Biarkan sotong/udang/isi ayam/kerang masak. Setelah itu masukkan kuaw tiay dan gaul sebati hingga pes meresap ke dalam kuay tiaw. Akhir sekali masukkan sayuran. Kacau dan masakkan hingga sayuran masak. Jangan lama sangat, nanti sayur benyek tak sedap. Setelah itu tutup api dan hidangkan segera bersama cili jeruk homemade (resepinya klik disini).

******Masak dengan api maksimum untuk rasa yang lebih istimewa.

Kimbap aka sushi


Sejak ummi dikenalpasti pandai menggulung nasi ala2 korea/jepun ni anak2 rajin jer request benda ni untuk bekal sekolah. Mula asal ingat tak sempat nak buatkan tapi kena la layan juga memandangkan permintaan dibuat pada hari terakhir persekolahan....cuma di post kat sini pada penghujung cuti...hahahha.

Kali ni versi simple aje....telur dadar....timun dan lobak jer....ok la kan....beli mahal jugak.....buat sendiri satu family leh makan sampai kenyang....leh share ngan kengkawan lagi.


Ikan Kukus


Ikan kukus abam sayam....masakan hubby kat kampung aritu. Kali ni buat tak pedas sebab MIL tak tahan pedas....cili padi tu letak sebiji2 tak hiris. Saya takleh nak makan sebab rasa macam hanyir ikan kalau tak pedas...hehehhe. Bila buat pedas2 dengan limau lebih skit baru boleh lalu kat tekak. Kalau mcam ni untuk MIL sesuai la.....


Ikan senangin kukus @ ZLC

Ikan sederhana  (entah apa nama ikan tu....orang pasar tu kata sedap kukus)
6 biji Cili padi dihiris (boleh tambah kalau nak lebih pedas)
3 inci Halia dihiris
5 sb Sos tiram
10 biji Perahan limau kasturi (kali ni guna 1 1/2 biji lemon)
3 sb sos tiram
garam dan gula secukup rasa
2 batang serai dihiris
sayuran pilihan - tomato, karot, kobis bunga, cendawan tiram, daun ketumbar jika suka

Satukan semua bahan, kecuali bunga kobis, cendawan dan daun ketumbar dan kukus selama 20 - 25 minit. Buka pengukus, masukkan bahan2 lain dan sambung kukus selama 5 minit. Tutup api.



Wednesday, December 27, 2017

Cucur cempedak


Menu minum petang ringkas bila tiba musim cempedak. Harganya mahal sekarang ni....mengalahkan durian pulak.

Dulu masa kat kampung, bila buah tak banyak...aduk beradik ramai....kitrg buat macam ni juga.....buang biji....bancuh ngan tepung macam buat cekodok pisang tu....jadi muai la sikit....ramai dapat makan.....durian pun sama....kalau buahnya sikit buat camni....janji ada rasa dan bau....jadilah.....

Nak makan pun senang....terus ngap tak payah susah2 nak keluarkan bijinya....bijinya leh terus kumpul dan rebus.... Klik link ini untuk resepi.

Buah mahal ni semua bahagian kena manfaatkan sepenuhnya....kulitnyapun jangan buang...kalau bela kambing atau lembu boleh lah kasi diorg makan...kalau takde jangan buang jugak....buat mandai...jeruk kulit cempedak yang femes kat N9....Resepi klik link ini.


Cucur cempedak

2 cawan tepung gandum
1 cawan isi cempedak (ganti ngan durian pun boleh)
1/2 sk baking soda
1 cawan air
1/2 sk garam
3 sb gula  (atau secukup rasa)
Minyak untuk menggoreng

Satukan semua bahan dan gaul sebati. Tamnah air jika perlu. Adunan tepung tidak terllau likat atau cair. Panaskan minyak di dalam kuali. Jemput atau sudukan adunan dan masukkan ke dalam minyak panas. Goreng dengan api seserhana hingga keperangan.



Ikan masak pindang serani


Kalau nak cepat.....masakan ringkat jadi pilihan....dalam 45 minnit dah siap masak dan hidang. Masakan ni nak buat pedas boleh...tak nak pedas pun ok....cili dan bahan2 lain kalau rajin tumbuk...kalau tidak hiris2 jer. Tak banyak ragam.....dan tak banyak prosedur nak sediakan.


Ikan masak pindang

Bahan2nya..

500 gm ikan
1 biji bawang besar belah 6
*5 ulas bawang
*4 ulas bawang putih
*1 inci halia
*1 inci kunyit hidup
Tumbuk atau kisar*

**6 biji cili padi - tumbuk kasar atau belah 2
3 keping asam gelugur
2 batang serai diketuk/titik
daun kesum diambil daunnya
2 biji tomato belah 4
air secukupnya
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Panaskan minyak. Tumis * dan ** hingga naik bau dan keperangan. Masukkan serai dan bawang besar. Tumiskan seketika. Masukkan air, kacau rata. Masukkan ikan, asam gelugur. Biarkan ikan masak dan mendidih. Masukkan garam dan gula secukup rasa, daun kesum dan tomato. Biarkan sebentar. Tutup api dan hidangkan....


Apple asam kulit limau

Apple asam kulit limau, pencuci mulut utk tempahan majlis tahlil aritu. Sebelum ni buatkan nenas. Kalau taknak nenas atau apple...buah2 lain pun boleh guna....jambu batu...mangga muda....kedondong...pir.....sedap jer.


Kalau nak rasa pedas2 sikit bolehlah kisarkan beberapa biji cili padi dan gaulkan sekali. Berpeluh makan kombinasi rasa masam, manis, masin, pedas bersatu dalam perut........sedap tak hengat......tau2 jer dah habis sebesen.

Kalau letak serbuk asam limau dah biasa....sesekali layan buah2an dengan taburan serbuk jeruk kulit limau ni memang tak tau bila mulut nak berenti mengunyah.


Tuesday, December 26, 2017

Ayam goreng ala KFC


Ayam kepci....salah satu menu yang ditempah jiran untuk majlis tahlil beberapa minggu lepas. Anak2 pun xcited sama sampai request untuk besday party dia yang entah berapa kali tertangguh tu salah satu hidangan dia minta ummi buatkan ayam kepci ni....hahhaha.

Untuk kali ni saya guna tepung segera...sebab tak dan nak buat sendiri...lagipun tak pasti samada boleh sampai awal ke rumah dari tempat kerja. Kalau ikut pengalaman sebelum ni...proses temuduga pelajar selesai dekat nak maghrib. Tal mau ambil risiko kalau hubby terpaksa sediakan sendiri menu ni, jadi beli tepung yang instant lebih memudahkan kerja.

Cara saya untuk buat ayam goreng ala hot and spicy kepci

Bahagi 2 tepung. Satu bahagian dibancuh dengan air (kepekatan adunan sama macam adunan tepung goreng pisang). Masukkan ayam yang telah dibersihkan dan gaul rata dengan adunan tepung. Kemudian ambil ayam dan golekkan diatas tepung yang kering. Tekan2 sedikit supaya tepung bersalut rata. Masukkan ke dalam minyak yang telah dipanaskan. Goreng hingga garing.


Kalau yang ingin semuanya homemade boleh cuba resepi rakan sekerja saya ni.

Resipi Ayam KFC Homemade
Sumber Amalina izzah

Ni resipi untuk seekor ayam

Bahan perapan

4 sudu besar chilli flakes
20 ulas bawang putih di tumbuk
2 sudu besar serbuk lada hitam
2 sudu besar serbuk lada putih
2 sudu kecil serbuk perasa (optional)
4 sudu kecil garam
2 sudu kecil soda bikarbonat
4 sudu besar serbuk kari ayam
2 sudu besar  limau nipis (rahsia ayam juicy di dalam rangup di luar).
Gaul rata bahan perap dan biar selama 30 minit

Bahan tepung

4 cawan tepung gandum
4 cawan tepung jagung
2 sudu kecil garam
2 sudu kecil soda bikarbonat

Lepas dah 30 minit, ambik telur ayam 2 biji pecahkan dalam bekas yg ade ayam perapan tu dan gaul rata.

Ambik ayam gaulkan dengan tepung dan goreng dalam kuali. Saya guna periuk kecik. Jimat sikit minyak. Pastikan minyak betul2 panas baru masukkan ayam yg dah salut tepung tu. Biar ayam tenggelam dalam minyak panas tu. Bile dah masak, boleh hidang dan makan panas2 dengan sos.

Roti wholemeal


Roti wholemeal untuk kawan2 hubby yang datang untuk discuss pasal kerja dihujung minggu. Pelengkap hidangan sup pekat makmak ZLC. Makan sup panas dengan roti fresh from oven....nyamam sekali.


RESEPI ROTI DAN DONUT LEMBUT
Resepi Oleh: Nor Jannah
Diolah Oleh: Zulfaza Loves Cooking

Bahan A:

Tepung gandum- 400 gram
Tepung wholemeal - 100 gram
Gula kasar- 80 gram
Garam- 6 gram
Yis- 8 gram
Bread Improver- 5 gram
Mentega- 55 gram

Bahan B:

Telur- 1 biji gred A
Ais Kiub- 100 gram
Air biasa- 140 gram

Cara untuk uli menggunakan mixer:

Timbang bahan A dan masukkan ke dalam bowl.

Timbang bahan B dan masukkan ke dalam A.

Putar menggunakan mixer dengan menggunakan speed rendah dahulu sehingga sebati.

Kemudian boleh tukar ke speed medium. Putar sehingga doh elastik iaitu doh licin, berkilat dan tarik tidak putus.

(Saya uli dengan BM, jadi ikut aturan BM, bahan cecair dulu diikuti dengan bahan pepejal.)

Perap doh hingga naik 2 kali ganda. Tumbuk doh dan uli seketika.

Bahagi doh dan masukkan ke dalam loyang yang digris dengan minyak atau mentega.

Biarkan naik dua kali ganda. Bakar dengan suhu oven 180°C selama 20 - 30 minit atau hingga keperangan.  (Masa bakar ikut saiz loyang dan saiz doh juga)

SUP PEKAT MAKMAK UNTUK MIL



Menu malam pertama kat kampung....sebelum balik adik.ipar bagitau hubby MIL nak malan briyani kambing.....hubby pun selepas subuh sebelum gerak ke kampung pegi pasar beli kambing ngan bahan2 nak masak briayani.... Sekali gitu bila sampai kampung MIL cakap ngan hubby dia teringin makan sup macam yang saya masak kat surau masa raya haji lepas....teringat2  sup tu especially bila dia rasa tak sihat....😄😄😄😄.... Ohhhh....terharu hakak tau....terus ajak hubby gi cari barang nak masak sup walaupun niatnya kali ni balik kampung takmo masak...hehhehe


Resepi sup pekat makmak dah kerap saya post dan repost diblog ni....sudi2 la blogwalking. Ramai yang suka sup pekat ala ZLC ni....kata diorg macam sup mamak tapi yang sedapnya dia tak terlalu berempah dan sesedap rasa......Alhamdulillah.


Udang Sweet Sour


Menu tengahari tadi....awal pagi dah masak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Udang ni beli semalam kat pasar rengit. Baru jer diangkut dari peraih. Geram tengoknya...segar banget.


Biasanya udang ni saya buat sambal tumis atau tomyam atau masak lemak tapi kali ni teringin pulak nak dibuat masak masam manis. Punya la suka anak2 yang memangnya penggemar makanan laut....bertambah2 makannya....maklum pulaklah makan kat kampung....hidang kat bawah...makan bersila ramai2. Itu pun nasib tak dikopek kulit udangnya sebelum dimasak....kalau tidak lagi pantas la habisnya...tak ingat orang belakang yang tak makan lagi....hai anak...gitu la kalau dah suka sangat.....


Udang masam manis
Sweet sour prawn

1 kg udang sederhana - gaul dengan sedikit serbuk kunyit dan goreng hingga masak
3 inci halia - hiris lidi
8 ulas bawang putih - hiris lidi
1 1/2 biji bawang besar - hiris
5 helai daun limau purut - hiris
2 batang serai - titik/ketuk

4 sb cili kering kisar
4 sb sos cili
4 sb sos tomato
2 sb sos toram
Garam dan gula secukup rasa.

Sayuran pilihan
Kacang peas/kacang panjang
Bunga kobis/brokoli
Lobak merah
Tomato
Cili hijau/merah/cili padi - belah 2

Tumis bahan hiris dengan minyak bekas menggoreng udang tadi hingga sedikit keperangan. Masukkan cili kisar dan serai. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos2 dan tumis hingga sebati. Masullan sayuran. Tumis hingga sayuran masak. Masukkan udang yang telah digoremg. Gaul rata. Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa.


Popia


Menu sarapan pagi bersama geng2 surau minggu lepas. Lama tak breakfast sekali....kebetulan ambil cuti untuk menguruskan hal sekolah jadi luangkan masa sebelah pagi tu untuk sediakan breakfast ringkas.


Popia goreng

Kulit popia secukupnya
1 biji sengkuang - hiris lidi
1 batang lobak merah - hiris lidi
200 gm isi udang (boleh tambah kuantiti ikut citarasa) - cincang
1 biji bawang besar - cincang
5 ulas bawang putih - cincang
Cili padi cincang (kuantiti ikut citarasa)
Sedikit sos tiram (pilihan)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis dan menggoreng
Sebiji putih telur atau bancuhan tepung jagung

Tumis bawang putih dan besar hingga keperangan. Masukkan cili padi dan tumis seketika.
Masukkan udang, gaul rata dan biarkan sebentar. Masukkan sos tiram dan sayuran. Gaul rata. Tumis seketika. Perisakan dengan garam secukup rasa. Masukkan ke dalam penapis supaya semua cecair boleh menitis keluar. Biarkan sedikit sejuk sebelum dibungkus menggunakan kulit popia.

Ambil sekeping kulit popia. Ambil sedikit inti letakkan dibucu kulit. Lipat dan gulungkan. Gamkan hujung kulit dengan telur atau bancuhan tepung jagung supaya tidak terbuka semasa menggoreng.

Goreng popia yang telah siap digoreng dengan menggunakan minyak yang sederhana panas.




Monday, December 18, 2017

Sup Cendawan


Sup cendawan permintaan khas encik suami untuk jamuan perpisahan member opis dia yg nak pencen. Member tu memnag peminat sup cendawan saya. Selalu gak dia oder especially bulan puasa.

Kali ni saya buat versi yang sedikit berbeza. Saya lebihkan perisa lada hitamnya. Pedas2 sikit gitu.
Alhamdulillah....suka pulak diorg....


Sup cendawan berkrim ZLC

bahan

3 sb mentega + 1/4 cawan minyak zaiton
3 biji bawang holland (hiris nipis/cincang)
1 labu bawang putih (cincang)
3 paket cendawan shitake (hiris)
2 paket cendawan butang (hiris)
6 kiub ayam maggi (boleh ganti dengan air rebusan ayam - chicken broth)
1 liter susu segar
3 tin susu cair
3 cawan tepung gandum
air secukupnya
garam secukup rasa

Panaskan minyak dan mentega. Tumis bawang2 dan lada hitam hingga naik bau. Masukkan  tepung gandum. Tumis hingga sedikit keperangan.

Masukkan cendawan yang telah dihiris kecil. Tumis hingga cendawan layu. Masukkan air dan serta kiub maggi. Kacau hingga mendidih. Masukkan susu dan tambah air jika perlu. (Tambah tepung gandum yg dibancuh dengan air jika sup agak cair - adjust kepekatan yang diingini).

Masak hingga mendidih, kacau selalu sebab sup akan membuak. Perisakan dengan garam secukup rasa. Tutup api. Hidangkan dengan roti bawang putih.


Ketam Telur Masin Ala ZLC


Ketam telur masin atau biasanya orang buat ketam goreng telur masin....tapi memandnagkan saya tak menggunakan kekdah menggoreng dulu ketam ni jadi saya panggil ajer ketam telur masin. Sukanya la anak2 makan ketam....memang rezeki kami sekeluarga...bila sampai di jeti air pasang...jadi nelayan baru naik le darat. Memang tak fikir lama, dituang jer hasil tangkapan di meja pasar tu terus saya cekup cepat2....

Hidup2 lagi ketamnya masa saya siap....terkejut2 sebab tangan kakinya bergerak2 masa dipotong....hehhehe....anak2 pun excited sebab first time tengok ketam hidup. Kiranya memang betul2 fresh.


KETAM TELUR MASIN ALA ZLC

Bahan2:

8 ekor ketam saiz sederhana
1/2 sudu kecil serbuk kunyit

8 ulas bwg putih - di cincang
9 - 10 bj cili padi ~ dihiris serong (nak lebih pun boleh)
4 tangkai daun kari
1 biji telur masin + 2 biji kuning telur ~ direbus hingga masak ( saya guna jer dua biji)
1 sudu kecil gula
5 sudu besar susu segar/cair
3 sudu besar mentega + sedikit minyak untuk menumis

Cara:

Asingkan telur masin dari kulit dan hancurkan. Ketepikan.

Panaskan mentega dan minyak dlm kuali kemudian tumis bawang putih, cili padi dan daun kari hingga wangi dan masukkan telur masin yg dihancurkan tadi.
Kemudian masukkan susu segar dan gula. (tak perlu letak garam sbb dah ada rasa masin dr telur masin)
Kacau rata dan masukkan ketam. Kacau lagi. Tumis hingga ketam masak, kemudian bolehlah dihidangkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...